Menyedari hakikat betapa kita diuji, kita sedang bersama ALLAH SWT, ini akan
menambah kekuatan kita. menyedari betapa kasihnya ALLAH pada kita, itu akan
melapangkan jiwa kita. ya, memang payah apabila manusia lain tidak memahami
penderitaan kita. lebih pahit sekiranya manusia lain itu pula yang menuntut hak
untuk kita memahami mereka. tapi itulah lumrahnya. tetapi ALLAH tidak demikian,
DIA paling memahami. DIA paling mengetahui. DIA mendengar semua rintihan. DIA
memberikan bantuan.
sudah.
tenanglah jiwa.
damaikan hati.
ALLAH akan membalasi
kesabaran ini. ALLAH kan ganjari keperitan jiwa ini. ALLAH akan bayar semua
kesusahan yang kita hadapi.
dan apa yang perlu
sekarang ialah bersabar dan berusaha mengahadapi serta menyelesaikan apa sahaja
masalah yang menghampiri.
“Tuhanmu tidak meninggalkanmu,
dan tidak pula Dia membenci” Surah Ad-Dhuha ayat 3.
“Oleh itu, maka (tetapkanlah
kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali
lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”Surah
Asy-Syarh ayat 5-6.
Maka damailah hati. Selepas kesukaran kita yang sedang kita hadapi
ini, percayalah akan ada kesenangan yang menanti.
Segala yang menyukarkan itu adalah ujian. Segala kesenangan juga
adalah ujian. Jangan rasa sempit apabila anda disusahkan sesuatu. Belajarlah
untuk berlapang dada. Anda kena yakin bahawa, hidup adalah ujian. Ya, hidup itu
sendiri satu ujian. Susah senang, semuanya ujian.
bersangka baik dengan Allah yang mengatur segala-galanya. Tahukah
kita bahawa, apa sahaja yang Allah aturkan dalam kehidupan kita, adalah baik
untuk kita?
Bagi yang tenang, dalam kepahitan itu ada kemanisan.
Bukanlah tidak boleh langsung
mengadu, bukanlah tidak boleh langsung mengeluh, bukanlah tidak boleh langsung
menangis hiba. Kita manusia. Itu memang akan berlaku. Kita biasa, ada dosa,
pastinya akan rasa lemah dan kadangkala kecewa. Tetapi jika benar kita adalah
pendosa yang ingin membersihkan dirinya, maka kita tidak akan lama di dalam
kelemahan. Kita akan segera untuk naik, menggapai rahmat Tuhan.
Dosa itu, juga adalah satu ujian.
Tetapi tidakkah kita membaca
firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad):
Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri
(dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah
jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53
Tentunya dalam kehidupan kita ini
begitu banyak individu yang sering menyakitkan hati kita, mengguris dan
melukakan perasaan kita bahkan menjadikan jiwa kita berserabut dan penuh
kebencian. Seringkali senyuman kita kehilangan serinya, tawa kita menjadi sumbing
dan air muka kita kehilangan cahayanya setiapkali kita bertembung wajah dengan
mereka. Bahkan ada yang begitu dengki dan sengaja menyakitkan hati kita malahan
sering mereka-reka fitnah dan onar untuk mencacatkan kewibawaan kita.
Ya, inilah sebahagian dari warna
warni hidup kita yang menjadikan perjalanan hidup kita lebih unik dan jiwa kita
akan menjadi lebih matang jika kita mampu menyikapinya dengan betul.
Apa perasaan kita berdepan dengan
golongan ini, walaupun bilangannya mungkin tidak begitu ramai? Apa pula
perasaan kita jika yang sering menyakitkan hati kita itu ialah orang-orang yang
begitu hampir dengan kita?
Bagi saya, tidak ada yang lebih
baik selain memberi KEMAAFAN. Ya, MAAFKAN MEREKA agar jiwa kita lebih
lapang dan bahagia. MAAFKAN MEREKA sehingga kebencian tidak lagi mampu
mencemarkan keindahan budi atau merubah rupa jiwa kita. MAAFKAN MEREKA agar
kita mampu tersenyum melihat kehidupan.
Adakah kita merasakan kebencian
kita itu menguntungkan kita atau akan merugikan mereka? Apa yang kita dapat
dari kebencian itu kalau bukan keserabutan jiwa, kemarahan yang meluap-luap dan
terusirnya ketenangan dan kedamaian dari hati nurani kita? Bahkan setiapkali
kebencian mula bertahkta dan menguasai hati maka hati kita itu akan makin
keras, gersang, kasar dan merosak air muka kita. Hingga akhirnya dunia yang
begitu luas terasa begitu sempit, hidangan yang lazat hilang kenikmatannya dan
tidur kita tidak lagi merehatkan jiwa kita untuk mendepani hari baru.
Jadi, nyatakan pada saya, apa untungnya kebencian dan kemarahan kita itu
kalau bukan menambahkan penderitaan keatas penderitaan yang sudah sedia
ada?
Jadi, MAAFKAN MEREKA kerana dalam
kemaafan kita itu Allah SWT menjanjikan keampunan. Bukankah dosa-dosa kita
masih terlalu banyak sedangkan kematian sering mengintai kita disetiap simpang
siur kehidupan. Bagi jiwa-jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT
tentunya kita benar-benar rindukan pengampunan Allah SWT bahkan pengampunan itu
lebih berharga dari pertambahan usia. Apalah gunanya bagi umur yang bertambah
tetapi dosanya tidak berkurang. Apa yang kita harapkan dari kehidupan begini?
MAAFKAN MEREKA kerana kita juga
sering membuat kesalahan dan setiapkali kita membuat kesalahan, kita begitu
rindu dan mengharapkan orang lain menyikapi atau menghadapi kelakuan buruk kita
dengan baik bahkan menasihati kita dengan penuh hikmah. Kenapa apabila orang
lain melakukan kesalahan kepada kita, kita lalu marah-marah dan pamerkan
wajah yang buruk dan penuh kebencian.
MAAFKAN MEREKA, agar jiwa kita menjadi
lembut bahkan membuahkan kesabaran dan kepasrahan hingga kita mampu mengukirkan
kesenyuman dari relung hati kita yang paling dalam. Biarkan kemaafan itu
menghiasi jiwa kita dengan bunga-bunga kecintaan dan kasih sayang hingga mereka
tertunduk hormat dan malu kepada kita.
Pernah satu ketika, jiwa saya
begitu menderita ketika menghadapi salah seorang dari orang atasan saya. Dia
merasakan dirinya yang paling benar. Dia bukan sekadar menolak pandangan orang
lain bahkan tidak memberikan ruang untuk pandangan itu dikemukakan. Sedangkan
apa yang dilakukannya terlalu salah, buah fikirannya sudah ketinggalan zaman
dan cara pengurusan kerjanya sudah terlalu usang dan antik walaupun dari
satu sudut saya yakin dia begitu ikhlas dalam kerjanya. Tidak sesiapa yang
selesa mengemukakan pandangan kepadanya apatah lagi menegur kesalahannya
walaupun kesalahannya terang lagi bersuluh. Bahkan tingkahlakunya sering
menjadi buah mulut rakan sekerja.
Jiwa saya begitu menderita.
Setiapkali ingin menyuapkan makanan kemulut lalu terpandang wajahnya selera
makan saya hilang serta merta. Setiapkali saya pejamkan mata untuk tidur,
wajahnya sering muncul dan bermain dalam fikiran saya. Ketika berehat
seringkali minda saya mengangankan saat-saat saya berhujah dengannya dan dia menyikapi
dengan sikap dingin dan keras kepala hinggakan angan-angan itu menjadikan jiwa
saya dililit kegelisahan dan kemarahan. Ya, berbulan-bulan saya hilang
kenikmatan jiwa ketika menginjakkan kaki di tempat kerja.
Jiwa saya terus menderita
hinggalah saya menemui penawarnya yang begitu mujarab iaitu KEMAAFAN. Saya
katakan pada diri saya, kenapa saya harus membencinya. Dia telah lakukan yang
terbaik dengan apa yang dia faham, walaupun mungkin caranya salah tetapi itu
yang dia faham dan tentang keikhlasannya, Allah yang lebih mengetahui. Kenapa
saya harus membencinya sedangkan kebencian saya tidak akan menjadikan dirinya
betul atau membetulkan keadaan yang salah. Kenapa saya harus membencinya
sedangkan setiap manusia memikul beban dosa yang begitu banyak dan saya
sendiripun tidak terlepas daripadanya. Bahkan apabila tua nanti mungkin saya
akan akan lebih teruk daripadanya dan orang lain akan lebih membenci saya.
Lalu saya pejamkan mata saya,
saya suarakan hati saya pada Allah yang Maha Mengetahui; Saksikanlah ya Allah,
aku maafkannya dan aku juga mengharapkan keampunanMu. Saksikanlah ya Allah, aku
kasihkannya kerana aku tahu dia ikhlas beramal untuk keredhaanMu. Walaupun dia
punya banyak kelemahan tetapi didalam ilmu Mu ya Allah, dosa-dosa ku lebih
banyak, walaupun aku rasakan aku lebih baik daripadanya belum tentu ketika aku
sampai keusia sepertinya aku akan terus istiqomah diatas jalanMu yang benar ini
ya Allah. Semoga Engkau menerima amalnya dan amalku ya Allah.
Disaat itu saya terasakan seolah
satu hijab gelap yang menutupi hati saya terangkat dan limpahan cahaya
kehidupan kembali menerangi hati saya. Tidak ada lagi kebencian dan keresahan.
Kemudiannya saya mencari kesempatan untuk bermaafan dengannya. Semenjak itu
hati saya kembali menemui nikmat ketika ditempat kerja. Setiapkali bertembung
wajah, senyuman begitu mudah terukir pada wajah saya bahkan kami mampu duduk
berbual dan bercerita.
Saya tidak maksudkan kita tidak
perlu membetulkan yang salah. Kata Ibnu Qayyim; Jika kamu ingin menyuruh yang
ma’ruf pastikan ia menjadi ma’ruf. Ya, jika kita inginkan
kebaikan, biarlah tindakan dan cara kita menghasilkan sesuatu yang baik atau
lebih baik. Maknanya, setiap tindakan kita perlu disesuaikan dengan niat, cara
dan masa yang baik. Kalaupun usaha kita tidak berjaya, yakinlah Allah
menjanjikan ganjaran diatas usaha dan kesabaran kita.
Maafkan mereka
agar jiwamu petah berbicara
mengajar insan erti bahagia
dan tersenyum dalam duka
Maafkan mereka
Agar hatimu lapang segala
Menikmati hari-hari baru
yang penuh duka lara
Maafkan mereka
Kerana jiwamu sedar mengerti
Hidup ini ada hari datang dan
pergi